5 Perkara Jangkaan Peminat Sebelum F1 Sepang 2026

Fans of formula 1 watching at Sepang Malaysia

Written by

in

Luar Litar

ANALISIS/PANDANGAN: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Luar Dalam.

Pemulangan Formula 1 ke Sepang bulan Oktober ini bukan sekadar berita sukan , ia satu fenomena sosial yang menarik untuk diperhati. Sejak Liberty Media mengambil alih hak penyiaran F1 dan memperkenalkan siri dokumentari “Drive to Survive”, sukan permotoran elit ini berjaya menawan hati generasi muda yang sebelum ini langsung tidak mengendahkan bunyi enjin V6 turbo-hybrid.

FOMO Generasi Baharu vs Nostalgia Generasi Lama

Kesannya kini jelas kelihatan. Ramai peminat baharu dilanda FOMO, tidak sabar mahu menyaksikan sendiri acara global ini di tanah air. Malangnya, sebahagian “orang lama” yang pernah menyaksikan F1 di Sepang suatu ketika dahulu kelihatan agak merendah-rendahkan teruja golongan muda ini. Seolah-olah pengalaman mereka dahulu lebih “sah” berbanding semangat baharu yang wujud sekarang.

Percanggahan generasi ini sebenarnya sesuatu yang elok kita raikan, bukan diperbesarkan. Sukan sejak dahulu berfungsi menyatukan pelbagai lapisan masyarakat, dan F1 bukan sekadar hiburan penuh drama, bagi yang meneliti dengan lebih mendalam, ia juga permainan strategi dan intelek peringkat tertinggi.

Apa Yang Dijangka Berlaku Menjelang Sepang GP Oktober Ini

1. Perebutan Tiket dan Ancaman “Scalper”

Isu tiket dan penjual semula haram sering menjadi bualan masyarakat kita, tidak kira konsert artis mahupun giliran ke Restoran Rembayung milik Khairul Aming . Justeru, pastikan pembelian dibuat menerusi laman rasmi F1 di tickets.formula1.com sahaja, bagi mengelakkan tertipu dengan tiket palsu atau harga yang tidak masuk akal.

2. Kesesakan Lalu Lintas Bertembung Le Tour de Langkawi

Dengan bilangan kenderaan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia, kesesakan jalan raya dijangka menjadi cabaran besar. Lebih rumit lagi, peringkat akhir Le Tour de Langkawi 2026 turut berlangsung pada 4 Oktober dari Muar ke Putrajaya, bertembung secara langsung dengan hari perlumbaan F1 di Sepang. Diharapkan kedua-dua penganjur dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa jalan raya bagi memastikan laluan terkawal. Cadangan penggunaan bas atau pengangkutan awam turut wajar dipertimbangkan supaya tidak semua penonton F1 bergantung kepada kenderaan persendirian. Khidmat sewa motor pasti akan meningkat pada hari kejadian nanti.

3. Cuaca Tidak Menentu: Pra Musim Tengkujuh

Bulan Oktober hampir dengan permulaan musim tengkujuh di negara ini. Penonton di grandstand dan kawasan bukit disarankan membawa kelengkapan sesuai seperti baju hujan, selagi mematuhi peraturan penganjur. Walaupun cuaca sebegini mungkin mengurangkan keselesaan penonton, dari sudut peminat sukan sejati, ia sebenarnya menambah nilai perlumbaan kerana menguji kebijaksanaan strategi pasukan dan kecekapan pemandu menghadapi litar basah.

(Credit: SIC)

4. Kehadiran Orang Kenamaan dan Pempengaruh

Hubungan baik YDPA Sultan Ibrahim bersama keluarga diraja Bahrain menjadi salah satu faktor kejayaan penganjuran F1 di Sepang tahun ini. Ahli keluarga diraja Johor turut dijangka hadir meraikan detik bersejarah ini, lebih-lebih lagi Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar merupakan dua pemandu aktif pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) yang kerap beraksi di Sepang dalam siri GT World Challenge Asia.

Selain itu, tahukah anda bahawa pelakon pemenang Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh, merupakan isteri kepada bekas Presiden FIA, Jean Todt. Kehadiran beliau, jika berlaku,pastinya menjadi tumpuan media tempatan dan asing. Dalam era pengaruh digital hari ini, jenama-jenama besar pastinya akan cuba memberi ruang kepada artis atau pempengaruh media sosial. Siapa yang anda rasa layak untuk diberi peluang meriahkan suasana acara ini?

5. Aduan Netizen Sukar Dielakkan

Perkara paling boleh dijangka ialah rungutan netizen terhadap penganjuran. Wajar diingatkan, Malaysia sudah tidak menganjurkan F1 lebih sembilan tahun. Dengan tempoh persediaan sesingkat dua bulan, adalah sangat mencabar untuk memastikan setiap aspek sempurna di mata orang ramai, apatah lagi membayangkan lebih 100,000 orang berkumpul di litar yang jarang digunakan pada kapasiti penuh sebegini.

Nikmati Setiap Saat

Semoga tulisan ini sampai kepada pihak penganjur dan semua yang terlibat dari penonton, sukarelawan, media, mahupun pemandu F1 sendiri agar kita sedar bukan mudah untuk Malaysia mendapat peluang sebegini. Nikmatilah setiap detik dengan semangat kesukanan yang menjadikan kita seorang manusia yang manusiawi.

Sumber: Formula 1

Baca liputan Padang sebelum ini di Luar Dalam untuk lebih konteks sukan motor dan sukan tempatan.