Dalam Parlimen
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mula mengeluarkan MyKad baharu secara berperingkat pada 17 September 2026. Dinamakan MyKad Generasi Baharu, kad ini membawa 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri pada versi sebelumnya.
Pengeluaran sudah bermula, tetapi ramai masih tertanya-tanya sama ada mereka perlu bergegas menukar kad. Jawapan ringkasnya: tidak semestinya. Berikut penjelasan lengkap.
Apa Yang Baharu Pada MyKad Generasi Baharu?
Kad ini diperbuat daripada polikarbonat yang lebih tahan haba, bahan kimia dan kehausan berbanding kad plastik lama. Maklumat peribadi dan gambar pemegang pula diturih menggunakan laser pada lapisan teras kad bagi mengurangkan risiko manipulasi identiti.
Antara ciri lain yang didedahkan JPN ialah hologram keselamatan dinamik dan elemen ultraungu (UV) pada kedua-dua belah kad. Kad ini turut dilengkapi corak guilloche, teks mikro serta bahagian lutsinar (transparent window). Di bahagian belakang pula, terdapat kod QR untuk tujuan pengesahan dan penguatkuasaan.
Cipnya juga dinaik taraf. Cip dwi-antara muka ini boleh dibaca melalui pembaca kad biasa dan secara tanpa sentuh menggunakan NFC, dengan tahap enkripsi yang lebih tinggi.
Satu perkara kekal sama. Nombor kad pengenalan dan maklumat peribadi pemegang tidak berubah.

Siapa Perlu Tukar MyKad Baharu?
Pertukaran tidak diwajibkan kepada semua orang. Menurut JPN, pemegang MyKad sedia ada tidak perlu menukar kad selagi kad mereka tidak rosak.
Namun, tiga kategori pemegang perlu beralih kepada versi baharu. Mereka ialah pemegang Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) dan MyKad tanpa ciri ghost image.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berpusu-pusu ke JPN. Beliau berkata terdapat kira-kira 24 juta MyKad dalam edaran, dengan purata pengeluaran 180,000 hingga 200,000 kad sebulan. Kerajaan mahu mengelak lonjakan mendadak sehingga sekitar 500,000 permohonan.
Bagaimana Cara Memohon MyKad Baharu?
Bermula 17 September 2026, urusan pengeluaran MyKad Generasi Baharu boleh dibuat di cawangan JPN di seluruh negara. Berikut perkara utama yang perlu diketahui:
- Sebanyak 40 cawangan JPN yang dilengkapi Pusat Cetakan bersedia mencetak MyKad Generasi Baharu. Kad di cawangan ini boleh siap pada hari yang sama.
- Cawangan JPN tanpa kemudahan cetakan masih menerima permohonan. Tempoh siapnya lima hari bekerja.
- Orang ramai digalakkan membuat janji temu terlebih dahulu melalui portal MyJanjiTemu JPN.
- Bayaran penggantian bergantung kepada kategori permohonan dan kadar yang ditetapkan JPN.
Senarai 40 Cawangan JPN Cetakan Hari Yang Sama
JPN menyediakan senarai cawangan ini menerusi infografik. Berikut versi teksnya mengikut negeri:
-
W.P. Putrajaya
- JPN Putrajaya
-
Perlis
- UTC Perlis
-
Kedah
- UTC Kedah
- JPN Kedah
- UTC Sungai Petani
-
Pulau Pinang
- JPN Seberang Perai Utara
- UTC Pulau Pinang
- JPN Pulau Pinang
- UTC Seberang Perai
-
Perak
- UTC Perak
- JPN Perak
-
Melaka
- JPN Melaka
- UTC Melaka
-
Negeri Sembilan
- UTC Negeri Sembilan
-
Selangor
- UTC Selangor
- JPN Selangor
- JPN Petaling Jaya
-
Kuala Lumpur
- UTC Keramat
- UTC Kuala Lumpur
- UTC Sentul
- JPN Kuala Lumpur
-
Johor
- UTC Pasir Gudang
- UTC Johor
- JPN Johor
-
Pahang
- JPN Pahang
- UTC Pahang
-
Terengganu
- UTC Terengganu
- JPN Terengganu
- JPN Dungun
-
Kelantan
- JPN Kelantan
- UTC Kelantan
-
Sarawak
- UTC Sibu
- UTC Miri
- JPN Sarawak
- UTC Sarawak
-
Sabah
- UTC Keningau
- UTC Sabah
- JPN Tawau
- JPN Sandakan
-
W.P. Labuan
- JPN Labuan
JPN turut menyenaraikan 24 pejabat tambahan sebagai pusat cetakan Fasa 2, antaranya JPN Klang, JPN Kulim dan JPN Bintulu. Senarai penuh boleh disemak di laman rasmi JPN.
Tinjauan RTM di JPN Putrajaya pada hari pertama mendapati ruang menunggu dipenuhi orang ramai. Namun, urusan di kaunter berjalan lancar.

Bagaimana Dengan SARA Dan Bantuan Kerajaan?
Bantuan dan subsidi tidak terjejas. MyKad baharu masih boleh digunakan untuk urusan yang memerlukan pengesahan atau penebusan menggunakan MyKad, tertakluk kepada syarat agensi berkaitan.
Baki dan kelayakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) juga kekal. JPN menjelaskan data itu tidak disimpan dalam kad, sebaliknya direkodkan dalam sistem SARA.
Bagaimana Dengan Touch ‘n Go?
JPN mengesahkan MyKad Generasi Baharu tidak lagi menyediakan kemudahan Touch ‘n Go. Pengguna yang mahu meneruskan penggunaannya perlu menggunakan eWallet Touch ‘n Go atau kad berasingan.
Jika kad lama masih mempunyai baki, permohonan bayaran balik boleh dibuat menerusi portal Touch ‘n Go.
Isu eKYC Yang Dilaporkan
Beberapa hari selepas pengeluaran bermula, SoyaCincau melaporkan MyKad baharu ditolak dalam proses eKYC di Touch ‘n Go eWallet, Ryt Bank, AEON Bank dan GXBank. Pendaftaran dalam talian MyDigital ID turut dilaporkan belum menerima kad ini.
Laporan itu menyatakan susun atur kad telah berubah. Gambar pemegang kini berada di sebelah kiri, manakala cip dialihkan ke bahagian belakang. Perubahan ini mungkin menyebabkan sesetengah sistem imbasan gagal mengecam kad tersebut. Pada pembaca kad fizikal pula, kad perlu dimasukkan dengan cara berbeza.
Pada 21 September, JPN memaklumkan penyedia perkhidmatan eKYC sedang mengemas kini sistem masing-masing supaya reka bentuk dan ciri kad baharu dapat dikenal pasti. JPN menyifatkan penyesuaian ini sebagai sebahagian daripada proses peralihan.
Sementara itu, pengguna yang menghadapi masalah disaran merujuk terus kepada bank atau penyedia perkhidmatan untuk kaedah pengesahan alternatif. Pengguna baharu MyDigital ID pula dilaporkan boleh mendaftar di salah satu daripada hampir 700 kiosk fizikal di seluruh negara.
Apa Seterusnya?
Pengeluaran MyKad Generasi Baharu dilaksanakan secara berfasa dan tidak menggantikan semua kad sedia ada serta-merta. Sementara itu, penyedia eKYC sedang mengemas kini sistem mereka.
Pemegang kad lama yang masih elok boleh terus menggunakannya seperti biasa. Bagi kadar bayaran dan lokasi terkini, semaklah saluran rasmi JPN sebelum ke kaunter.
Baca juga: Kerajaan Kaji Cukai Hibrid GST-SST: Apa Yang Perlu Anda Tahu
