Sepang, Litar Kegemaran Semua

Luar Litar

Saya menonton perlumbaan hari ini dari sofa di rumah. Hujan turun, kereta tidak mahu memecut, dan permulaan ditangguh lebih sejam. Walaupun begitu, saya tidak berganjak dari skrin. Selepas hujung minggu ini, saya yakin satu perkara: Sepang litar kegemaran semua.

Ini sisi Luar, iaitu pandangan, bukan laporan. Untuk keputusan dan kedudukan penuh, baca liputan Dalam Litar kami.

Litar Yang Memberi Ruang Untuk Berlumba

Laman rasmi F1 menggambarkan Sepang sebagai litar berbentuk lebar dengan lurus panjang dan mempunyai zon brek yang kuat. Ia membolehkan pemandu menyerang daripada beberapa garisan lumba. Saya rasa itu adalah sebab perlumbaan di sini sentiasa menarik walaupun keadaan kacau-bilau.

Lihat sahaja pusingan ke-13. Max Verstappen menyelinap di belakang Kimi Antonelli, lalu memintasnya di luar Selekoh 1. George Russell pula mengambil peluang daripada pertarungan itu untuk merampas tempat kedua di Selekoh 5.

Cuaca pula tidak boleh diramal. Hujan hanya tiba pada hari Ahad, ketika pemandu bersiap menuju grid. Selepas itu, datanglah penangguhan, masalah perisian, pertaruhan tayar dan dua Safety Car. Lewis Hamilton jatuh ke tempat ke-18, kemudian naik semula ke podium.

Perlu diakui, kekecohan perisian unit kuasa bukan salah litar. Menurut RacingNews365, perlumbaan ini mendedahkan kelemahan peraturan F1 semasa. Sepang hanya menyediakan pentas perlumbaan kali ini.

Bermula Dengan Persahabatan Dua Raja

Kisah ini tidak bermula di litar. Menurut kenyataan di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Hamad bin Isa Al Khalifa menjalin persahabatan sejak 2017. Hubungan itu terus kukuh melalui lawatan negara Baginda ke Bahrain pada 2025.

Apabila konflik di Asia Barat menjejaskan perlumbaan Bahrain, persahabatan ini menjadi satu hikmah. Hasilnya, Sepang dipilih. Pada hari perlumbaan, Sultan Ibrahim berangkat menyaksikannya bersama Putera Mahkota Bahrain dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Syabas kepada semua pihak yang menjayakannya.

Hype Yang Tidak Dibina Oleh Iklan

Kegembiraan peminat bermula sebelum enjin dihidupkan. Hampir 100,000 tiket terjual sebelum hujung minggu bermula. Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, turut memberitahu Gulf Daily News bahawa beberapa grandstand dan kawasan habis dijual.

Kemudian, selepas perlumbaan di Baku pada malam Sabtu, George Russell terbang terus ke Langkawi. Dia ditemani Alex Albon, Oliver Bearman, Carlos Sainz, Oscar Piastri dan Gabriel Bortoleto, menurut Newswav. Mereka berkayak, bermain go-kart dan mandi air terjun. Sainz menceritakan idea itu lahir secara spontan, apabila dia mencadangkan pulau lain sebagai ganti terus ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, Antonelli menikmati SplashMania di Gamuda Cove. Russell pula bergurau bahawa dia tidak menerima jemputan ke sana. Valteri Bottas pula bersama pasangannya berkayuh menelusuri laluan basikal gravel di kawasan Sepang dan sekitarnya

Pasukan dan pemandu F1 tealh berjaya mempromosikan pelancongan kita dengan lebih berkesan daripada kebanyakan kempen yang pernah kita lihat.

Hari Pertama: Pengangkutan Yang Mengecewakan

Sayangnya, kegembiraan itu terganggu pada hari pertama. Peminat melaporkan jalan sesak dan beratur bas melebihi tiga jam. Seorang pengunjung memberitahu Malay Mail bahawa dia meninggalkan Sepang pukul 5.45 petang, tetapi hanya menaiki bas pada pukul 9 malam.

Ramai menuding jari kepada Bahrain International Circuit (BIC), penganjur acara. The Rakyat Post melaporkan bahawa 95 bas dirancang berdasarkan jangkaan penganjur. Litar Bahrain pula biasanya menampung sekitar 37,000 penonton sehari, manakala Sepang menerima kira-kira 100,000.

Jika laporan itu tepat, BIC memang memandang rendah jumlah peminat. Namun, kita juga perlu jujur. Amaran bahawa lebih 100,000 orang akan hadir setiap hari sudah dikeluarkan lebih awal oleh pihak lapangan terbang. Lagipun, SIC pernah mengendalikan 90,637 penonton pada hari terakhir MotoGP 2023.

Walau bagaimanapun, respons pada hari kedua patut dipuji. SIC mengakui cabaran itu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa. Rapid KL (Prasarana) mengubah susunan naik dan turun penumpang. Menurut Bernama, peminat memuji lorong khas bas, barisan yang teratur serta kehadiran kakitangan, marshal dan polis yang lebih ramai.

Masih belum sempurna, tetapi usaha itu nyata. Selepas hari kedua, Azhan sendiri turun membantu mengawal orang ramai dan mengagihkan air minuman.

Sinema Untuk Peminat Di Rumah

Dari sofa, semua itu kelihatan seperti sebuah filem. Ada hujan, ada kejutan, dan ada wira yang bangkit dari tempat ke-18. Saya hanya perlu menekan butang remote.

Tidak begitu bagi mereka yang hadir. Mereka membeli tiket, menempuh panas, beratur untuk segalanya, dan membayar harga makanan yang dilaporkan mencecah RM35 sepinggan nasi lemak. Syabas dan terima kasih kepada anda semua, kerana merasai detik ini dengan mata sendiri bagi pihak kami yang menonton dari rumah.

Malaysia Sudah Sedia, Tetapi Yuran Itu Kemewahan

Hujung minggu ini menjawab persoalan lama: adakah Malaysia sedia untuk F1? Pada pandangan saya, jawapannya ya. Peminat ada, litar ada, dan pasukan pun suka datang.

Namun, ada satu halangan yang tidak berubah. Pada Ogos 2025, menteri belia dan sukan ketika itu, Hannah Yeoh, menyatakan tiada rancangan segera memulihkan GP Malaysia. Yuran penganjuran tahunan dianggarkan RM300 juta.

Kali ini berbeza. Perdana Menteri menjelaskan Malaysia tidak menanggung yuran pendaftaran FIA, dan kos utama hanyalah penyelenggaraan litar sekitar RM16 juta setahun. Presiden Persatuan Sukan Permotoran Malaysia, Tan Sri Mokhzani Mahathir, pula mengesahkan Bahrain menanggung sebahagian besar kos.

Bagi saya, itulah kemewahan yang sebenar. Bagi kebanyakan kita, yuran biasa di tahap ratusan juta ringgit memang sukar dibayangkan. Soalan sebenar ialah sama ada ia berbaloi, dan jawapannya memerlukan kajian ekonomi yang telus.

Mudah-mudahan ada harapan F1 kembali ke Sepang pada masa depan. Untuk sekarang, nikmatilah detik ini.

PANDANGAN: Artikel ini merupakan pandangan dan analisis Luar Dalam, bukan laporan fakta. Rujuk Dalam Litar, F1 Kembali ke Sepang dan 5 Perkara Jangkaan Peminat Sebelum F1 Sepang 2026 untuk fakta dan latar belakang.