The Odyssey: Bila Puisi Berusia 3,000 Tahun Bertemu IMAX

Actors of The Odyssey

Written by

in

Dalam Filem

Christopher Nolan, pengarah asal Britain-Amerika ini dikenali sebagai antara segelintir pembikin filem yang masih mampu menarik ramai penonton ke pawagam semata-mata kerana namanya tertera pada poster. Dari Inception, Interstellar, sampai trilogi The Dark Knight, Nolan sentiasa membawa satu ciri khas, filem yang sarat falsafah, yang buat penonton berfikir jauh selepas kredit filem tamat, dan tafsirannya sering berbeza-beza mengikut siapa yang menontonnya.

Selepas Oppenheimer (2023), biopik saintis di sebalik penciptaan bom nuklear yang membawa pulang Oscar Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik untuk Nolan, ramai tertanya-tanya apa langkah seterusnya. Jawapannya jauh lebih purba daripada sains nuklear: Nolan memilih untuk mengadaptasi The Odyssey, salah satu karya sastera tertua yang masih dibaca sehingga hari ini.

Apa Itu The Odyssey?

The Odyssey adalah puisi epik hasil tulisan Homer, pujangga Greek purba yang hidup lebih 2,000 tahun lalu. Ia mengisahkan pengembaraan Odysseus, raja Ithaca, dalam usahanya pulang ke tanah air selepas tamatnya Perang Trojan. Perjalanan yang mengambil masa sedekad penuh dengan raksasa, dewa-dewi, dan godaan yang menghalang beliau daripada bertemu semula isterinya, Penelope, dan anaknya, Telemachus. Karya ini dianggap sebagai salah satu tunjang literasi Eropah dan telah diterjemah, dipentaskan, serta difilemkan dalam pelbagai bentuk sepanjang sejarah namun tidak pernah dalam skala sebegini.

Sinopsis Ringkas

Filem ini membawa penonton mengikuti Odysseus dalam perjalanan pulangnya yang penuh onak duri, bertembung dengan Cyclops Polyphemus, godaan Sirens, dan pulau Calypso. Sementara di Ithaca, Penelope pula bertahan menentang barisan peminang yang cuba merampas takhta suaminya. Ia sebuah kisah tentang kesetiaan, ego, dan harga yang perlu dibayar seorang lelaki untuk pulang ke rumah.

Difilemkan Sepenuhnya Dalam IMAX

Inilah yang membuatkan The Odyssey istimewa: ia filem penuh pertama dalam sejarah yang dirakam sepenuhnya menggunakan kamera filem IMAX, termasuk adegan dialog yang tenang dan intim. Selama ini, kamera IMAX hanya digunakan untuk adegan aksi kerana bunyi mekanikalnya yang bising, hampir mustahil untuk merakam dialog berbisik di sebelahnya.

Untuk menyelesaikan masalah ini, Nolan bekerjasama terus dengan IMAX membina kamera generasi baharu bernama IMAX Keighley, lengkap dengan “blimp”. Sejenis sarung khas yang meredam bunyi kamera sehingga membolehkan pelakon berbisik dari jarak sedekat satu kaki dan tetap dirakam dengan bersih. Krew turut membina sistem cermin supaya pelakon boleh kekal bertentang mata semasa berlakon walaupun kamera raksasa ini menghalang pandangan mereka antara satu sama lain. Sinematografi filem ini diketuai oleh Hoyte van Hoytema, kolaborator tetap Nolan sejak Interstellar.

Bajet Produksi

The Odyssey dilaporkan menelan belanja produksi sekitar USD250 juta, menjadikannya filem paling mahal yang pernah dihasilkan Nolan setakat ini. Sebagai perbandingan, Oppenheimer hanya berbajet sekitar USD100 juta, manakala The Prestige (2006), filem Nolan yang turut bertemakan ilusi dan pengorbanan cuma memerlukan sekitar USD40 juta. Lonjakan bajet ini banyak didorong oleh kos membina kamera IMAX baharu, penggambaran di lokasi sebenar merentasi enam negara, dan barisan pelakon bertaraf bintang.

Senarai Pelakon

  • Matt Damon — Odysseus, raja Ithaca yang berjuang pulang
  • Anne Hathaway — Penelope, isteri setia Odysseus
  • Tom Holland — Telemachus, anak Odysseus
  • Zendaya — Athena, dewi kebijaksanaan dan peperangan
  • Charlize Theron — Calypso, nimfa yang memerangkap Odysseus di pulaunya
  • Lupita Nyong’o — Helen of Troy dan Clytemnestra
  • Robert Pattinson — Antinous, peminang paling berbahaya bagi Penelope
  • Samantha Morton — Circe, ahli sihir
  • Jon Bernthal — Menelaus, raja Sparta
  • John Leguizamo — Eumaeus, penggembala babi yang setia kepada Odysseus
  • Travis Scott — seorang pendendang (bard)

Runut Bunyi

Skor muzik filem ini digubah oleh Ludwig Göransson, komposer yang turut menghasilkan muzik untuk Oppenheimer dan Tenet, dua kolaborasi terdahulu bersama Nolan yang sama-sama diiktiraf kritikan tinggi.

Lokasi Penggambaran

Penggambaran dijalankan secara besar-besaran di enam negara: Morocco, Greece, Italy, Iceland, Scotland, dan Amerika Syarikat (studio Universal di California untuk sebahagian kecil adegan). Antara lokasi khusus yang dikenal pasti termasuk kawasan Al-Dakhla di Western Sahara, Kota Santa Caterina di Pulau Favignana, Itali, serta Moray Firth di pantai timur laut Scotland.

Nilai Rekomendasi: 10/10

Sebuah cerita yang kekal segar sejak 3,000 tahun lalu yang merupakan antara perintis literasi Eropah kini diterjemah ke skrin oleh salah seorang pengarah terbaik zaman ini. Dari sudut hubungan keluarga, etika diri, politik, sehinggalah kerohanian, semuanya membawa pengajaran untuk kita bermuhasabah dan memperbaiki diri, tidak kira sama ada kesilapan itu kecil atau besar, lama atau baharu. Itulah lumrah manusia yang tidak sempurna.

The Odyssey kini sedang tayang secara eksklusif di panggung IMAX buat tiga minggu pertama sejak 17 Julai 2026. Kalau nak rasai pengalaman sebenar filem ini sepertimana yang Nolan mahukan, tonton di IMAX.