Dalam Filem
Empat tahun selepas dunia melupakan identitinya, Peter Parker kembali beraksi solo sebagai Spider-Man sepenuh masa di New York. Spider-Man: Brand New Day bukan sekadar filem adiwira biasa sejak tayangan perdana pada 31 Julai 2026, filem ini telah memecahkan pelbagai rekod box office dunia dan menjadi bualan peminat Marvel di seluruh dunia, termasuk Malaysia.
Sinopsis: Bab Baharu Tanpa Sokongan Lama
Cerita bermula empat tahun selepas peristiwa No Way Home, di mana mantera Doctor Strange telah memadamkan ingatan seluruh dunia terhadap Peter Parker. Kini Peter hidup dalam keseorangan, mengabdikan diri sepenuhnya untuk melindungi bandar sebagai Spider-Man walaupun rakan-rakan lama seperti MJ dan Ned meneruskan kehidupan mereka di MIT tanpa mengenalinya lagi.
Tekanan menjadi adiwira solo ini mencetuskan satu evolusi fizikal yang aneh dan berbahaya pada kuasa Peter. Dalam masa yang sama, dia bertembung dengan Frank Castle/Punisher (Jon Bernthal) dan seorang tahanan misteri, Jean Grey (Sadie Sink), sambil cuba menghadapi ancaman baharu yang begitu berkuasa sehingga tidak dapat dilihat oleh sesiapa pun.
Watak & Pelakon Utama Spider-Man: Brand New Day
- Tom Holland sebagai Peter Parker / Spider-Man
- Zendaya sebagai Michelle “MJ” Jones
- Sadie Sink sebagai Jean Grey
- Jacob Batalon sebagai Ned Leeds
- Jon Bernthal sebagai Frank Castle / Punisher
- Mark Ruffalo sebagai Bruce Banner / Hulk
- Marisa Tomei sebagai May Parker
- Tramell Tillman sebagai William “Bill” Metzger
- Michael Mando turut membintangi filem ini
Filem ini diarahkan oleh Destin Daniel Cretton, mengambil alih tempat Jon Watts yang mengarahkan tiga filem Spider-Man Tom Holland sebelum ini.

Bajet vs Jumlah Kutipan Box Office
Dengan bajet pengeluaran sekitar $225 juta (tidak termasuk kos pemasaran), Brand New Day membuktikan pelaburan itu amat berbaloi. Filem ini mencatatkan tayangan perdana domestik terbesar dalam sejarah dengan $360 juta di Amerika Utara, mengatasi rekod Avengers: Endgame.
Secara global, kutipan hujung minggu pembukaan mencecah hampir $930 juta, tayangan perdana antarabangsa kedua terbesar sepanjang zaman, hanya di belakang Avengers: Endgame. Filem ini kemudian menembusi paras $1 bilion hanya dalam masa enam hari, menjadikannya filem kedua terpantas mencapai pencapaian tersebut selepas Endgame.
Menjelang hari ketujuh tayangan, jumlah kutipan global telah mencecah $1.15 bilion, menjadikan Brand New Day filem paling laris tahun 2026 setakat ini, mengatasi Toy Story 5 dan Michael. Dengan permulaan kukuh di China, United Kingdom dan Mexico, ramai penganalisis box office menjangkakan filem ini berpotensi menembusi $2 bilion sebelum tamat tayangan pawagam.
Senarai Filem Spider-Man Sepanjang Masa
Trilogi Sam Raimi (Tobey Maguire)
Spider-Man (2002), Spider-Man 2 (2004), Spider-Man 3 (2007)
The Amazing Spider-Man (Andrew Garfield)
The Amazing Spider-Man (2012), The Amazing Spider-Man 2 (2014)
Siri MCU (Tom Holland)
Spider-Man: Homecoming (2017), Spider-Man: Far From Home (2019), Spider-Man: No Way Home (2021), Spider-Man: Brand New Day (2026)
Filem Animasi Spider-Verse
Spider-Man: Into the Spider-Verse (2018), Spider-Man: Across the Spider-Verse (2023), Spider-Man: Beyond the Spider-Verse (dijadualkan 2027)
Ulasan Spider-Man: Brand New Day: Kesinambungan yang Matang
Spider-Man: Brand New Day berjaya memaparkan kesinambungan karakter Peter Parker yang semakin matang dan menganjak ke arah kedewasaan. Tiga filem sebelum ini arahan Jon Watts membawakan tema coming of age, di mana Peter Parker baru menjadi seorang adiwira di Homecoming, seterusnya mula berlawan dengan musuh yang lebih besar di Far From Home, dan berkorban segalanya di No Way Home.
Pengarah Destin Daniel Cretton berjaya membawa Peter Parker ke arah penerimaan tanggungjawabnya sebagai seorang adiwira, dan Tom Holland kini mendapat tempatnya sebagai pelakon yang berjaya menghidupkan watak ini menjadikan beliau setaraf dengan Tobey Maguire dan Andrew Garfield.
Jalan cerita turut menarik dalam membawa watak Sadie Sink untuk kesinambungan Marvel Cinematic Universe. Elemen fan service untuk peminat komik Marvel turut diadaptasi dengan baik, menjadikan Brand New Day sebuah filem feel good yang bakal menjadi malar hijau untuk ditonton berulang kali.
Suntingan, koreografi aksi dan runut bunyi yang menarik turut menambah nilai filem ini untuk menjadi cult classic buat peminat Spider-Man, Marvel, mahupun peminat filem secara umum. Keseluruhannya, rekomendasi Luar Dalam adalah 8/10 untuk penonton.
