F1 Kembali ke Sepang: Bahrain GP Berpindah Oktober 2026

A grandstand of Sepang International Circuit Malaysia

Written by

in

Dalam Litar

Selepas hampir sedekad menanti, gemuruh enjin Formula 1 bakal kembali bergema di Litar Antarabangsa Sepang. Formula 1 dan FIA secara rasmi mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia pada 2 hingga 4 Oktober 2026. Julung kalinya Sepang menganjurkan perlumbaan F1 sejak 2017.

Pengumuman Rasmi: Sepang Gantikan Bahrain

Perjanjian ini melibatkan Formula 1, FIA, Kerajaan Bahrain dan Kerajaan Malaysia. Perlumbaan akan kekal menggunakan nama “Bahrain Grand Prix” walaupun dianjurkan di Sepang, dan akan mengisi slot antara Azerbaijan Grand Prix dan Singapore Grand Prix pada kalendar 2026.

Pengesahan ini masih tertakluk kepada perjanjian muktamad, termasuk kelulusan rasmi daripada Majlis Sukan Motor Dunia (World Motor Sport Council) FIA.

Kenapa Bukan di Bahrain?

Bahrain Grand Prix asalnya dijadualkan pada April 2026 di Litar Sakhir. Namun perlumbaan itu ditangguhkan berikutan konflik dan ketegangan keselamatan di rantau Timur Tengah. Perlumbaan Arab Saudi turut terjejas atas sebab sama. F1 turut meneroka kemungkinan menganjurkan semula perlumbaan di rantau Teluk pada penghujung tahun, tetapi ketegangan yang berterusan menjadikan pilihan itu tidak praktikal lantas membawa kepada keputusan memindahkan acara ke Sepang.

Reaksi Pihak Terlibat

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali, menyatakan kegembiraannya kerana sukan ini sekali lagi berjaya mencari jalan penyelesaian bagi mengekalkan perlumbaan tersebut dalam kalendar, sambil turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Bahrain dan Malaysia atas kerjasama ini.

Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem pula menegaskan keselamatan pasukan, sukarelawan dan peminat menjadi keutamaan sepanjang proses rundingan berlangsung, sambil mengiktiraf hubungan erat FIA dengan Persatuan Sukan Motor Malaysia.

Raja Muda dan Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al-Khalifa, turut menyifatkan kerjasama ini sebagai lambang hubungan erat dua hala antara Bahrain dan Malaysia. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula menyatakan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan Bahrain kepada Malaysia, sekali gus menegaskan kesediaan negara menganjurkan acara sukan bertaraf dunia.

Sejarah Sepang dan Formula 1

Litar Antarabangsa Sepang direka oleh arkitek litar terkenal, Hermann Tilke. Individu yang sama turut merangka litar Shanghai, Bahrain, Istanbul, Valencia, Singapura, Yeongam, Buddh, Texas, Yas Marina dan Sochi.

Litar ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 7 Mac 1999. Sepang kemudian menjadi tuan rumah perlumbaan MotoGP pertama Malaysia pada 20 April tahun yang sama, sebelum menerima perlumbaan F1 sulungnya beberapa bulan kemudian.

(Credit; SIC)

Kali Terakhir F1 di Sepang: 2017

Perlumbaan F1 terakhir di Sepang berlangsung pada 1 Oktober 2017, dikenali sebagai 2017 Formula 1 Petronas Malaysia Grand Prix. Max Verstappen muncul juara pada hari itu, manakala rekod pusingan terpantas litar dicipta oleh Sebastian Vettel dengan masa 1:34.080 minit pada pusingan ke-41, rekod yang masih berdiri sehingga kini. Perlumbaan tersebut disaksikan seramai 110,604 peminat.

Apa Seterusnya?

Buat masa ini, F1 dan FIA menyatakan maklumat berkaitan jualan tiket akan diumumkan tidak lama lagi. Peminat tempatan dijangka menanti dengan penuh minat memandangkan Sepang bakal menjadi tumpuan trio perlumbaan bersama Azerbaijan dan Singapura dalam tempoh dua minggu berturut-turut.

Sumber: Formula 1

Baca liputan Padang sebelum ini di Luar Dalam untuk lebih konteks sukan motor dan sukan tempatan.